ZAINAL Buang Hussin menunjukkan sebahagian daripada komik yang pernah dihasilkan sepanjang penglibatannya sebagai seorang kartunis.

ZAINAL Buang Hussein merupakan antara nama yang tidak asing dalam dunia penerbitan kartun dan komik tanah air.

Kehebatan ilustrasi dan kekuatan mesej melalui karya-karya yang dihasilkan meletakkan beliau sebaris dengan kartunis tersohor negara seperti Datuk Azman Yusuf, Jaafar Taib dan Rejabhad.

Lebih dikenali melalui imej kereta sports dan wanita seksi yang sering menjadi penghias muka depan majalah Gila-Gila, Zainal merupakan antara contoh kartunis versatil tanah air.

Walaupun tidak pernah menerima pendidikan secara formal di dalam bidang seni lukis, beliau membuktikan bakat semulajadi yang dianugerahkan kepadanya bukan sesuatu yang tidak harus disia-siakan.

Bakat seni lukis yang dimiliki disedari ketika berusia tujuh tahun dan sejak itu Zainal tidak pernah berpaling ke belakang daripada impian untuk bergelar seorang pelukis.

“Semuanya bermula di reban ayam milik bapa. Ketika itu saya melukis menggunakan arang kayu api yang diambil dari dapur.

“Masa itu tiada lagi pensil warna dan cat. Melukis pun secara sembunyi-sembunyi,” ujar anak kelahiran Kampung Tengah, Kluang, Johor ketika ditemui S2, baru-baru ini.

Bermula dari ‘studio’ kecil di belakang rumahnya, Zainal menjadikan dinding dan lantai reban ayam bapanya sebagai ‘kanvas’ untuk mengasah bakatnya.

Di bangku sekolah, bakat yang ditonjolkan Zainal sering mendapat perhatian guru-guru sehingga beliau dianugerahkan gelaran seniman kecil sekolah.

“Selepas menyedari bakat saya, guru sering memberi tugasan menghias bangunan sekolah dan membuat demonstrasi melukis,” ujar pemilik ruangan Wak Punk dan Tong Kosong di dalam majalah Gila-Gila itu lagi.

Bagaimanapun katanya, minat terhadap seni lukis sering diperlekeh oleh rakan-rakan sekolah.

“Di sekolah saya banyak menghabiskan masa di perpustakaan. Bukan membaca tapi melihat dan mengkaji lukisan-lukisan di dalam buku.

“Dari situ saya mula belajar melukis objek yang lebih sukar,” ujar penerima anugerah Tokoh Penggiat Kartun Malaysia 2012 itu.

Beliau yang juga bekas Presiden Persekutuan Kartun Selangor dan Wilayah Persekutuan itu juga pernah menghasilkan 10 buah novel dan menjadi pelukis poster filem sekitar tahun 90-an seperti Panglima SallehTuan Besar dan Nasib Si Badul.

Zainal yang pernah bertugas sebagai sebagai ilustrator bersama Kumpulan Utusan pada 1975 kini lebih menumpukan bakat seninya dalam penghasilan lukisan bercorak abstrak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130302/sa_06/Studio-reban-ayam#ixzz2MzaoK0q7
© Utusan Melayu (M) Bhd