Cari Jodoh Online
.

Sekarang sibuk viral tentang cari jodoh dengan post biodata di Facebook.

Tidak dinafikan memang ramai yang bertemu jodoh secara online dari media sosial.

Namun yang tak elok pun banyak berlaku. Menipu, memberi gambaran palsu, personaliti berbeza di alam maya, sengaja mengambil kesempatan dan kes jenayah pun tidak kurang hebatnya.

Sebagai cadangan kepada adik2 atau sesiapa yang ingin mencari jodoh secara online, saya berikan sedikit tip dan strategi berdasarkan pengalaman saya. Moga ia dapat membantu mempertemukan anda dengan pasangan yang baik:
.

1 – Jujur dan jadilah lebih baik dari diri kita yang sebenar. Apa maksudnya? Bukankah kata orang putih kita kena “Be yourself?”.

Jangan ikut orang putih, ikut nasihat Islam. Jadi lebih baik setiap hari. Bukan bermaksud kita berlakon baik, tetapi kita sedang belajar menjadi orang yang lebih baik dari diri kita sebelum ini.

Jangan harapkan hasil yang berbeza sedangkan kita melakukan perkara yang sama. Kita perlu berubah. Itu tuntutan Islam.

Kalau dulu suka merepek tidak berfaedah, sekarang banyak kongsi ilmu bermanfaat.

Kalau dulu suka marah dan mengumpat orang, sekarang cuba elakkan dan cerita kebaikan orang sahaja. Dan begitulah selanjutnya.
.

2 – Jangan terdesak tunjukkan kita sedang mencari calon isteri/suami. Sebaliknya belajar persiapkan diri tentang ilmu rumahtangga.

Berkongsi ilmu yang dipelajari tentang kehidupan berkeluarga di FB kita. Dengan cara itu pun orang dah tahu kita sedang belajar dan berusaha menjadi yang terbaik untuk bakal jodoh kita.

Ia lebih manis dibaca orang dari madah cinta kecewa dan duka lara yang mengambarkan perasaan kita.
.

3 – Pamerkan diri yang sebenar. Gunakan gambar profile diri kita, bukan kucing, bunga, kereta, kasut atau monyet.

Biarkan orang tahu siapa kawan kita, apa pekerjaan kita, siapa keluarga kita dan bagaimana gambaran sebenar kehidupan kita.

Ia penting supaya kita dapat jodoh yang sesuai dan serasi dengan kehidupan kita.
.

4 – Mulakan pencarian. Jangan tunggu jodoh datang bergolek, kita perlu mencari mereka.

Sesekali carilah gadis atau jejaka yang sekali tengok gambar mereka, kita rasa berkenan untuk dijadikan sebagai suami atau isteri.

Tengok2 dulu apa status hubungan mereka, kalau yang single, boleh add friend. Kalau single tapi gambar atau posting sentiasa bercerita tentang kekasih, maka tinggalkan. Tak perlu simpan harapan “selagi belum kahwin, boleh adjust lagi!”. Itu perbuatan yang tidak baik.

Pastikan niat kita betul dan ikhlas ingin mencari jodoh. Allah akan tolong. Jangan saja-saja nak test market atau pasang calon ramai2 supaya senang nak pilih. Itu mempermainkan perasaan orang namanya.

Yang dimaksudkan di atas ialah bina hubungan sebagai kawan dahulu, bukan suruh pergi mengorat semua orang.
.

5 – Apabila sudah berkawan dengan mereka2 yang berkenan di hati tadi, cuba bertegur sapa dalam posting mereka.

Tengok dan perhatikan gaya hidup dan sikap mereka. Adakah kita boleh terima sebagai pasangan hidup?

Komen posting mereka dengan bahasa yang baik dan buatkan mereka perasan kita suka follow mereka.

Tak perlu hantar mesej inbox dah jatuh cinta bagai. Berkawan sahaja di wall yang lebih terbuka.

Lihat apa respon mereka, adakah mereka juga menunjukkan respon bahawa mereka suka follow dan berkawan dengan kita atau sebaliknya.
.

6 – Pandai pandailah cipta peluang untuk melihat siapa di kalangan orang yang kita berkenan itu pun ada menyimpan hati dengan kita.

Mungkin boleh minta kawan kita bersembang pasal kita dengan si dia. Biar kawan kita tengok apa respon si dia tentang kita.

Kalau dia suka, Alhamdulillah.. Kalau tidak, cari orang lain. Kan ada ramai lagi dalam senarai tu.

Paling penting, kita sendiri jangan terlalu memilih.
.

7 – Sudah jumpa orang yang sesuai dan sama2 suka?

Baik, sekarang boleh hubungi si dia dan nyatakan hasrat hati. Katakan kepadanya kita sedang mencari calon dan kita berkenan mahu jadikan beliau sebagai pasangan hidup.

Yang ini memang kena berani la sikit. Samada anda lelaki atau perempuan, tidak mengapa. Yang penting cuba.

Tunggu jawapan dari si dia…

Apa pun keputusan dia, terima dengan hati terbuka.

.

.

Sumber : Wan Muhd Ali