KEHEBATAN kisah dan mitos rakyat yang diwarisi sejak zaman-berzaman menyimpan banyak potensi dan nilai komersial yang mampu mengangkat martabat komik tempatan khususnya komik berbahasa Melayu ke persada antarabangsa.

Bagaimanapun kesan daripada lambakan komik import yang menguasai pasaran pada masa kini menyebabkan penerbit dan kartunis tempatan terus terkongkong dalam pasaran yang sempit.

Itu antara pandangan dan luahan Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn. Bhd (CESB), Jaafar Taib, 60, individu yang menjadi tulang belakang dalam penerbitan majalah Gila-Gila.

Sebagai salah seorang pelukis komik veteran, Jaafar berkata, industri komik tempatan tidak mampu ‘pergi lebih jauh’ sekiranya identiti Melayu tidak diangkat dalam penghasilan komik tempatan.

“Industri kita sebenarnya mempunyai ‘modal’ yang cukup hebat untuk diketengahkan dalam penerbitan komik.

“Kisah dan watak yang beridentitikan budaya dan masyarakat setempat mampu berdiri sama tinggi dengan karya-karya antarabangsa. Jadi kita tak perlu berkiblatkan komik Jepun dan Hong Kong untuk berjaya,” katanya.

Antara komik-komik karya anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu sejak dari tahun 1970-an termasuk Ratu Ular, Dewi Aladin, Sesat Di Sebuah Planet, Sindbad, Matahari Pun Tenggelamlah dan Aga-Aga.

Jaafar berkata, pasaran komik berbahasa Melayu yang semakin mengecil berpunca daripada sikap syarikat penerbitan yang tidak mahu memberi peluang kepada komik-komik beridentiti tempatan untuk bersaing.

“Kita tidak nafikan pengaruh hebat komik-komik antarabangsa tapi komik-komik Melayu juga mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Sekiranya diolah dengan penceritaan dan grafik yang baik tiada sebab komik kita tidak boleh bersaing.

“Meskipun komik kita dahulu dipengaruhi lukisan komik popular seperti Tarzan, Vampirella dan Conan, kartunis tetap kreatif dalam penerapan unsur-unsur tempatan,” ujar beliau yang terkenal dengan siri-siri lukisan unggas bertajuk Birds of Malaysia.

Justeru itu katanya, era kegemilangan komik Melayu yang pernah mewarnai pasaran kira-kira 30 tahun lalu perlu dihidupkan semula dengan mengenal pasti cabaran dan halangan dalam dunia penerbitan semasa.

Tambah beliau, antara pendekatan yang harus dilakukan adalah dengan meningkatkan tahap profesionalisme dalam penerbitan dan mengkaji taktik pemasaran syarikat-syarikat penerbitan komik antarabangsa.

“Jika dahulu kartunis bekerja sendirian menghasilkan komik kini mereka mungkin perlu bekerja dalam satu pasukan.

“Harus belajar bagaimana Jepun menguasai pasaran komik dunia bukan meniru bulat-bulat gaya lukisan mereka. Cara itu tidak akan ke mana,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130302/sa_03/Identiti-Melayu-‘modal’-berjaya#ixzz2MwfWEHXX
© Utusan Melayu (M) Bhd