SIAPA menyangka semasa hayatnya pelukis tersohor dunia, Vincent Van Gogh hanya menjual satu lukisan sahaja, The Red Vineyard dengan harga 400 francs (AS$1,000) pada 1890. Malah dia bukanlah pelukis yang dikagumi semasa hayatnya dan lukisan tidak menyumbangkan kekayaan kebendaan setaraf dengan pengiktirafan selepas kematiannya.

Tetapi seniman yang hebat dan karya yang baik tidak pernah ditelan zaman. Tidak lapuk dek hujan ataupun lekang dek panas yang mengubah manusia dan zaman. Ini berlaku kepada banyak seniman dan sasterawan disebabkan pemikiran mereka jauh melangkaui zaman. Mereka terpaksa menderita kerana ditolak oleh masyarakat yang tidak boleh menerima karya yang lahir lebih awal dari zamannya.

Kini lukisan Van Gogh antara yang bernilai tinggi di pasaran. Ada yang berkata, sebuah lukisan Van Gogh sama dengan harga muzium yang mempamerkan lukisan itu. Ini terbukti apabila lukisan yang dihasilkan seminggu sebelum dia membunuh diri, Potrait of Dr. Gachet (1890) dijual pada harga AS$138.4 juta pada masa ini.

Van Gogh adalah kisah lara manusia biasa abad ke 19. Dia seniman yang menderita dan tidak sempat menikmati hidup yang sempurna dengan hasil seninya. Kisahnya yang penuh lara dan menongkah gaya lukisan tradisional abad ke 19 di Eropah itu dialirkan dalam semua lukisannya. Malangnya semua timbal balas minda seniman itu hanya disedari selepas ketiadaannya.

Ini bukanlah buku pertama yang memperincikan relung hidup pelukis pelik dan separuh gila ini. Sudah banyak yang menulis tentang Van Gogh daripada pelbagai sudut termasuk kehidupan dan lukisannya. Tetapi buku ini lebih menarik kerana menyingkap tindak balas minda Van Gogh terhadap sosial di sekitarnya. Suatu yang jelas daripada buku ini ialah kehebatan Van Gogh adalah goresan berus dan pencil adalah suara mindanya.

Buku ini menekankan bahawa matinya Van Gogh pada usia 37 tahun menandakan lahirnya gaya impresionisme dalam seni lukis. Semasa hayatnya Van Gogh menolak gaya tradisional yang menjadi ikutan banyak pelukis lain. Dia menganggap lukisan adalah olahan dan tafsiran daripada kehidupan sosial di sekelilingnya.

Buku ini banyak membantu kita memahami maksud tersirat dalam karya-karya impresionisme Van Gogh. Pada masa yang sama juga membawa kita menyusuri pergolakan bawah sedarnya yang terlalu ambitious terhadap seni lukis. Sebahagian karya Van Gogh memperihal tindak balas mindanya dan juga nyanyi kesunyian dan kenangan apabila jauh daripada keluarga.

KerinduanMisalnya menerusi lebih 1,000 surat kepada keluarga dan rakan-rakan terutama abangnya, Theo, Van Gogh merakamkan mengungkapkan kerinduan, kesunyian termasuk laras seninya yang ditolak oleh masyarakat. Pada Julai 1890 Van Gogh menulis kepada Theo, “Saya rasa ini adalah kegagalan. Ia lebih jauh daripada apa yang dijangkakan. Saya rasa ini adalah penamat, saya terima dan semua ini takkan berubah.”

Semasa hayatnya, Van Gogh seorang manusia yang gagal. Dia gagal dalam kerjaya menjadi seorang pendakwah Protestan. Dia gagal dalam cinta kepada sepupunya, Kee kerana gadis itu menolaknya. Malah mengecewakan ibu dan adik beradik dan Theo terpaksa menyara hidup Van Gogh selama sepuluh tahun menjadi pelukis.

Kepiluan dan kegagalan ini diperlihatkan dalam lukisan bertajuk Wheat Field With Crows yang memaparkan keyakinan dan putus asa menerusi awan kelam di kaki langit. Beberapa hari selepas menyiapkan lukisan itu Van Gogh menembak dirinya sendiri. Bagaimanapun ini bukanlah lukisan terakhir Van Gogh yang secara sukarela menjadi pesakit hospital jiwa.

Pengarang buku ini menekankan bahawa yang dilalui oleh Van Gogh boleh memberi semangat kepada seniman dan sasterawan lain bahawa cahaya di hujung terowong bukan mudah untuk digapai, mimpi pula bukan senang untuk dipetik menjadi realiti.

Tulis pengarang buku ini, Van Gogh bukanlah pelukis terbaik zamannya. Hakikat ini diakui oleh Van Gogh dan ini juga menjadi sebab penderitaan jiwanya. Van Gogh mengimpikan menjadi pelukis sehebat Eugene Delacroix yang lukisannya sangat berseni dan mempunyai kehalusan goresannya. Tambahan pula pelukis ini menjadi pujaan masyarakat apabila dipamerkan di Pameran Salon di Paris.

Tetapi di sebalik lukisan yang dianggap kotor, goresan kasar itu, sebenarnya makna yang lebih besar. Goresan berus Van Gogh memang kelihatan kasar malah mendekati gaya naive. Bagaimanapun ternyata bukan naive kerana Van Gogh melakar landskap, figuratif termasuk potret mendekati gaya realisme. Van Gogh seorang pelukis yang bijak bermain antara cahaya dan bayang walaupun goresan berusnya kasar dan seolah-olah “tidak siap”.

Buku ini banyak menyingkap tentang alam pemikiran Van Gogh yang terpahat pada karya lukisan yang menjadi sejarah zamannya. Membaca buku ini memberikan kefahaman kepada kita untuk menghargai karya seni termasuk yang dianggap tidak masuk akal dan “tidak cantik” daripada mata zahir. Menghayati karya seni tidak popular seperti lukisan boleh mempertajamkan jiwa dan rasa untuk menghargai keindahan. Daripada buku ini kita akan tahu kenapa hari ini lukisan Van Gogh begitu bernilai malah harganya tidak masuk akal (akal kita) yang banyak terbius oleh seni pop dari filem dan muzik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130224/sa_03/Di-sebalik-karya-Van-Gogh#ixzz2Mx1vxvcP
© Utusan Melayu (M) Bhd