SEBAHAGIAN daripada komik bahasa Melayu simpanan Prof. Dr. Muliyadi Mahamood.

DUNIA komik tempatan berkait rapat dengan sejarah permulaan ruangan kartun melalui kolum-kolum kecil yang diterbitkan di dada akhbar sekitar tahun 1930-an.

Bermula dengan jenaka terbitan akhbar harian seperti Warta Jenaka, Majlis, Tunas dan Utusan Melayu, seni visual yang menggabungkan lukisan dan kotak dialog itu terus berkembang menjadi salah satu daripada cabang komunikasi yang berpengaruh.

Nama-nama seperti Saidin Yahya, Osman Kangkung dan Ali Sanat merupakan antara kartunis terawal yang pernah mewarnai dunia kartun negara ini.

Populariti kolum-kolum kartun yang disiarkan di dalam akhbar seterusnya membawa kepada penerbitan novel grafik yang kini lebih dikenali sebagai komik yang memaparkan kisah-kisah kependekaran, misteri, penyiasatan, peperangan dan mitos-mitos rakyat.

Antara pelukis komik yang popular sekitar tahun 1960-an ialah Halim Teh melalui karya bersirinya, Keris Berpuaka, Puteri BongsuAbu Nawas dan Puteri Tujuh.

Selain karya kartunis kelahiran Lenggong, Perak itu, nama-nama besar dalam penerbitan komik sebelum kemerdekaan termasuk Raja Hamzah, K. Bali, Nek Norzarah Abdullah (Nora) dan Alias Kulub dari Selama, Perak.

Pengaruh komik yang berkembang pada tahun 1970-an terus memeriahkan gelanggang kartun tempatan dengan kemunculan karya-karya yang hebat. Salah satu daripada komik yang pernah mencetuskan fenomena ketika itu adalah Wak Doger, karya Hussain Saad.

Pada masa yang sama, populariti kartun editorial di dalam akhbar, majalah ilmiah dan hiburan seperti Keluarga Si Mamat dan The Kampung Boy karya Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat semakin digemari.

Penerbitan komik mencapai zaman kemuncaknya antara tahun 1970-an hingga awal 1980-an. Ketika itu, komik-komik yang dijual pada harga 50 sen hingga RM1 senaskhah laris dijual.

Purata jualan bagi judul-judul komik yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan Bayan, Pustaka Trijaya, Gala Unggul, Abadi, Mediaseni, Komik Cempaka dan Karyatis ketika itu mampu mencecah 30,000 naskhah setiap keluaran.

Pada 1978, perubahan besar berlaku terhadap dunia komik tempatan apabila Creative Enterprise (kini Creative Enterprise Sdn. Bhd.) menerbitkan majalah Gila-Gila yang menguasai sepenuhnya pasaran.

Kemunculan majalah berkonsepkan kompilasi kartun itu boleh dikatakan sebagai pencetus trend terhebat dalam sejarah penerbitan bahan bacaan berbentuk kartun dan komik di negara ini.

Dengan mengetengahkan kartunis berbakat melalui kolum dan watak seperti Profesor Serba Tahu, Minah Leter, Mat Romeo, Perwira Mat Gila, From Taiping With Love dan Lagak A. Mahmud, Gila-Gila terus mengambil alih populariti komik-komik grafik.

Populariti majalah yang pernah mencatat jualan lebih 250,000 naskhah sebulan itu merupakan antara penyebab penerbitan komik-komik grafik gagal bersaing sehingga berkubur beberapa tahun kemudian.

Zaman kegemilangan Gila-Gila bertahan kira-kira 30 tahun sebelum berdepan saingan baru oleh majalah-majalah infotainment yang menggabungkan unsur humor generasi baru, hiburan, figura, animasi dan permainan video seperti Gempak , Starz dan Utopia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130302/sa_02/8-dekad-penuh-cabaran#ixzz2Mx2pms3Q
© Utusan Melayu (M) Bhd