WALAUPUN teknologi digital mampu mempercepatkan penghasilan karya, Azhar Abdullah lebih gemar menggunakan teknik lukisan secara manual.

LAMBAKAN komik import dan majalah humor berkonsepkan infotainment yang semakin menguasai pasaran komik tidak pernah mematikan semangat kartunis tempatan daripada terus berkarya.

Muhamad Azhar Abdullah,36, merupakan salah seorang daripada pelukis komik yang masih berani mempertaruhkan karya-karya yang beridentitikan kisah dan hikayat Melayu.

Dua daripada komik beliau iaitu Liga Pendekar dan Pendekar Melayu Terakhir kini menjadi antara judul novel grafik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat komik di negara ini.

Muhamad Azhar yang juga Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik) berkata, saingan hebat komik-komik antarabangsa tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk menghasilkan produk yang lebih bercirikan tempatan.

Beliau berkata, komik tersebut bukan sahaja diharap dapat menyediakan alternatif kepada pembaca bahkan mempunyai penceritaan yang setanding dengan komik-komik manga Jepun.

Katanya, walaupun minat pembaca di negara ini lebih cenderung kepada komik-komik import, selera terhadap mitos dan hikayat tempatan tetap ada.

“Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam penerbitan komik, saya yakin sambutan terhadap komik yang beridentiti masyarakat negara ini masih tinggi.

“Cuma pembaca tidak beli bukan sebab tak minat tapi sebab kebanyakan gerai buku ‘tiada tempat’ untuk komik-komik tempatan.

“Cara terbaik untuk menarik minat pembaca adalah dengan melakukan promosi secara lebih berkesan,” ujar anak kelahiran Taiping, Perak itu.

Muhamad Azhar berkata, sejak dilancarkan kira-kira lima tahun lalu, komik Liga Pendekar yang dihasilkan beliau itu sudah terjual hampir 7,000 naskhah di seluruh negara.

“Sambutannya baik, cetakan pertama sudah habis di pasaran dan kini masuk cetakan kedua.

“Saya yakin jika kartunis tempatan dapat menghidupkan semula era kegemilangan komik-komik Melayu, industri ini akan kembali berkembang,” ujar beliau yang bakal menerbitkan satu lagi novel grafik bertajuk Invasi pada bulan depan.

Bagaimanapun katanya, cabaran utama yang harus ditempuhi dalam penerbitan komik indie adalah promosi dan pemasaran yang menuntut komitmen berterusan.

“Antara kaedah promosi paling berkesan pada masa sekarang adalah melalui blog dan laman-laman media sosial,” ujar pemilik blog www.azharsketch.blogspot.com itu.

Selain Internet katanya, kemudahan teknologi digital juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam penghasilan komik melalui penggunaan perisian komputer.

Liga Pendekar berkisar tentang dunia kepahlawanan sekitar awal kurun ke-15 yang menggabungkan pelbagai watak legenda dan mitos tempatan seperti Hang Tuah, Malim Deman, Sang Kelembai, Badang, Awang Kenit, Sang Kebayan, Si Tanggang dan Orang Minyak.

Komik keduanya pula iaitu Pendekar Melayu Terakhir mengisahkan perjuangan pahlawan Melayu semasa zaman penjajahan Jepun. Kedua-dua komik dijual pada harga RM6.90 senaskhah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130302/sa_04/Komik-indie-pilihan-baharu#ixzz2MzgXmPAY
© Utusan Melayu (M) Bhd